Anda Yang Ke

Bloggers Penang

~~SAMPAI KE AKHIR HAYAT~~AMIN YA RABBAL ALAMIN~~

Daisypath Anniversary tickers
PERKAHWINAN (PUAN SALINA & ENCIK NADZMIN)

~~SEMOGA MENJADI ANAK YANG SOLEH. AMIN YA RABBAL ALAMIN~~

Lilypie First Birthday tickers
HARI KELAHIRAN PUTERA SULUNG(MUHAMMAD NAJMI BIN NADZMIN)

2.14.2009

HaRi KeKaSiH?????

Haram Menyambut Hari Valentine
Written by Administrator
Sunday, 10 February 2008
Tarikh 14 Februari sudah sebati dengan sambutan Hari Valentine ataupun Hari Memperingati Kekasih. Setiap tahun seluruh dunia, tidak terkecuali sebahagian masyarakat Islam sendiri, pasti meraikan kedatangan hari ini untuk menzahirkan rasa cinta pada pasangan masing-masing. Ada yang menghadiahkan bunga, coklat, cincin emas atau hadiah-hadiah lain, malah ada yang dengan bangganya melangsungkan majlis perkahwinan atau pertunangan pada tarikh ini. Media massa pula galak mempromosikan sambutan Hari Valentine melalui pelbagai bentuk propaganda.

Perlu diingatkan bahawa menyambut Hari Valentine hukumnya haram bagi semua orang Islam. Dari segi asal-usul peristiwa, Hari Valentine adalah suatu perayaan yang berdasarkan tradisi bangsa Romawi kuno di mana setelah mereka memeluk agama Nasrani, maka sambutan tersebut berubah menjadi 'acara keagamaan' yang dikaitkan dengan kematian St. Valentine. Tokoh yang bernama St. Valentine ini pula adalah seorang paderi Nasrani yang telah dihukum bunuh kerana tindakannya membela cinta sepasang remaja pada zamannya.
Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Menyambut Hari Valentine jelas bertentangan dengan syariat Islam kerana budaya yang diimport dari Barat ini menghalalkan perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan atas dasar suka sama suka. Islam mengharamkan sambutan sedemikian bagi menghalang berlakunya perkara yang lebih buruk. Dengan membatasi perhubungan lelaki dan perempuan, masing-masing dapat memelihara kehormatan diri dan seterusnya memastikan kesejahteraan dalam masyarakat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat.’’ (al-Isra: 32)

Mafhumnya, Allah s.w.t. tidak mengharamkan zina semata-mata malahan apa sahaja yang boleh membawa kepada zina hukumnya juga haram.

Apa yang jelas dalam sambutan Hari Valentine ialah pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Justeru bagi menzahirkan rasa cinta, pelbagai aktiviti dilakukan yang secara jelas haram dan bertentangan dengan hukum Islam. Kebiasaannya pasangan kekasih akan mengadakan pertemuan kononnya demi melahirkan perasaan cinta masing-masing. Pada waktu itulah syaitan akan menghasut mereka supaya melakukan perkara-perkara terkutuk seperti zina.

Kesimpulannya, sambutan Hari Valentine sama sekali bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. Perayaan ini tidak lain hanyalah tradisi yang diimport dari Barat yang jelas tidak menggambarkan norma-norma budaya masyarakat Islam Melayu. Diingatkan sekali lagi bahawa haram bagi orang Islam meraikan Hari Valentine kerana ia boleh membawa kepada murtad yakni terkeluar daripada pegangan Islam.


Berikut dipaparkan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Perak tidak lama dahulu berkenaan hukum sambutan Hari Valentine bagi umat Islam:
Murtad Sambut Hari Kekasih Mirip Agama Kristian.

KUALA LUMPUR 11 Feb. 2004 - Umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa: “Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.”

Beliau berkata, perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom.

“Kita umat Islam tidak perlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas bertentangan dengan agama kita. Lagipun ajaran Islam sudah lengkap, sempurna dan diyakini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya muda-mudi yang masih cenderung untuk meraikan Hari Memperingati Kekasih setiap kali muncul 14 Februari biarpun telah banyak penerangan disampaikan oleh para ulama.

Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II. Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan salah seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Hari ini budaya Valentine menganjurkan orang ramai menghantar kad ucapan Valentine kepada buah hati mereka, teman karib dan orang-orang yang mereka sayangi sebagai simbolik dalam menyatakan cinta terhadap mereka.

Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis menganggap 14 Februari sebagai `hari burung-burung mencari pasangan mereka.’ Pada kurun ke-14 dan ke-15 mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada tarikh tersebut. Masing-masing akan mengucapkan `Selamat Hari Valentine’ sesama pasangan mereka.

Ada juga mitos menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis From Your Valentine kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara.

Harussani turut menyeru umat Islam agar tidak sesekali meniru budaya asing dan ternyata bercanggah itu apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan.

“Mengapa kita perlu mengamalkannya sedangkan Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. Bahkan jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara se-Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudahpun jatuh haram. Jadi amalan atau budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik,” kata beliau.

Menurut Harussani, Islam turut menggalakkan umatnya mengasihi sesama mereka secara ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dengan tumpang bersyukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka.

“Berkasih sayang bagi Islam juga tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia,” kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia, Februari 2004

0 comments:

MY BLOG AWARDS

MY BLOG AWARDS
From Yoyo & Lingg - (DaVOM)

From Lingg (DAVOM)